Tanah bumi yang subur

Suasana tenang menyelubungi bumi bertuah lagi suci itu. Madinah. Dipenuhi dengan manusia-manusia yang berpusu-pusu lembut ke tanah yang diteduhi dengan rimbun-rimbun pohon kurma yang kering. Tanah tersebut ialah tanah suci Masjid Nabawi. Seusai solat, Sang Murabbi Muhammad s.a.w dikerumuni oleh para sahabat-sahabat seolah-olah ada perkara penting yang ingin dikhabarkan oleh baginda. Ucap baginda, “Perumpamaan petunjuk dan ilmu yang dengannya Allah mengutusku,” kata Rasulluah. “Adalah bagaikan hujan yang turun ke bumi.” Suasana senyap dan khusyu’ menyelubungi ruang masjid. Sambungnya lagi, “Maka, ada bahagian bumi yang subur lagi baik, ia akan menerima air hujan itu dengan baik lalu menumbuhkan tanaman dan rumput-rumput yang banyak.”

Sahabat-sahabat tersenyum apabila mendengarnya dan membayangkan hasil-hasil tanaman mereka yang mekar menumbuh di kebun-kebun mereka dengan izinNya. “Ada juga bahagian bumi yang menahan air, lalu Allah memberikan manfaat kepada manusia dengan air yang disimpannya, sehingga mereka boleh minum dan menyirami tanaman dari air tersebut.” Para sahabat-sahabat tekun untuk memahami makna setiap perkataan yang diperkatakan oleh Rasulluah. “Bahagian lainnya adalah padang tandus dan kering, ia sama sekali tidak boleh menyimpan air dan juga tidak menumbuhkan apa pun.” Tegas Rasulluah, “Demikian itu, adalah perumpamaan orang yang diberi kefahaman dalam agama, lalu ia dapat memanfaatkan apa yang aku bawa itu, hingga ia sentiasa belajar dan mengajarkan apa yang dia fahami. Dan perumpamaan orang yang sama sekali tidak ambil peduli dan tidak mahu menerima petunjuk Allah yang aku sampaikan.” Setiap bait perkataan yang keluar dari mulut Rasulluah dihayati dan diimani oleh para sahabat dan ia telah direkodkan dalam Hadis Riwayat Bukhari-Muslim.

Alangkah indahnya hidup disirami tarbiyah Allah di samping menyusuri Sunnah Rasulluah dalam setiap sudut kehidupan. Ada saja ruang yang Allah berikan untuk kita belajar dan mengajarkan apa yang kita fahami tentang Islam. Malah, keistimewaan tarbiyah itu sendiri hanyalah kepada orang yang terpilih di kalangan ciptaanNya yang paling sempurna. Istimewa, bukan? Berdasarkan hadis tersebut, setiap manusia yang diciptaNya mempunyai kapasiti atau kemampuan yang tersendiri dalam memanfaatkan nikmat tarbiyah itu, iaitu Iman dan Islam yang hakiki. Untuk menjadi seorang daei yang sukses, mereka perlu memastikan kemampuan-kemampuan mereka dijana dengan baik dengan belajar memahami Islam sehinggalah menjadi seperti tanah subur yang mampu menumbuhkan pohon-pohon rimbun yang berbuah manis apabila memperoleh sumber air hujan yang terbaik. Dengan kata lain, seorang daei itu mampu melahirkan peribadi yang mampu mentarbiyahkan orang lain, masyarakat dan biah yang sama sekali mendekatkan diri setiap insan sekelilingnya kepada Allah. Itulah tahapan pertama yang digambarkan oleh hadis ini.

Belajar dan mengajar apa yang difahami

Belajar dan mengajar apa yang difahami

Inilah ciri-ciri daei yang mampu menggerakkan gerabak dakwah dan tarbiyah ini. Ia tidak mustahil untuk kita mencapai tahap tersebut dengan syarat iman yang teguh dan amal yang ikhlas menjadi pendamping setiap titik kehidupan kita. Barulah kemanisan iman itu menyerap masuk ke dalam hati seperti mana air hujan yang segar menyerap masuk ke tanah yang subur. Mana mungkin seorang murabbi tersebut berjaya mengajak seseorang ke arah Rabbnya sedangkan dirinya sendiri jauh dari Rabbnya. Inilah mafhum hadis tersebut yang cuba digambarkan oleh Rasulluah kepada para daei yang ingin memastikan dakwah itu menjadi efektif.

“Kepungi manusia itu dengan cinta Allah”

filhaqiqatulislah

Advertisements

Saya Cinta Kamu!!

Apabila diwahyukan kepada Musa, “Pergilah engkau kepada Firaun! Sesungguhnya dia sungguh melampau!” Musa tergamam seketika. Menitis keringatnya membasahi muka. Tanpa ragu-ragu, Musa terus merayu kepada Allah. “Ya Rabb! Aku khuatir dengan seruanMu ini. Mana mungkin aku mampu melakukannya dengan kelemahanku ini. Aku gagap bila berkata-kata apatah lagi berhadapan dengan kehebatan Firaun yang dikagumi seantero Mesir ini. “Izhab ila firauna innahuu to’ghoo”. Sekali lagi seruan ini memasuki ruang hati Musa. “Ya Rabb, daku ini sungguh hina dengan dosaku membunuh manusia yang tidak bersalah pada suatu ketika dahulu.” Tangis manusia ini. Musa dengan penuh rasa rendah dirinya menadah tangan ke langit memohon kepada Sang Pencipta dan menantikan sesuatu yang menenangkan jiwanya seperti mana peristiwa tongkatnya bertukar menjadi ular yang besar dengan izinNya.

Lalu, bergemalah satu suara, “Pergilah engkau bersama saudaramu, Harun membawa kebenaranKu. Berbicaralah kamu berdua kepada Firaun dengan kata-kata yang lemah lembut, moga-moga Firaun sedar dan takut.” Doa Musa diperkenankan oleh Allah dan dimanifestasikan di dalam kitab umat Muhammad s.a.w, Al-Quran, Surah Toha (Surah yg ke-20). Terus, Musa dan Harun menyampaikan kebenaranNya tanpa ragu-ragu dengan penuh tekun dan gigih, dipenuhi dengan ancaman dari anasir Firaun hinggakan nyawa mereka berdua terancam di persisiran Laut Merah.

Inilah sorotan kisah 2 manusia agung yang dihiasi dengan makna persahabatan Ilahi. Jika Musa (a.s) berada bersama-sama dengan kita, pasti Nabi Musa mampu menceritakan pengalaman saat-saat indah dan manis bersahabat dengan Nabi Harun (a.s) dalam mencari redha Allah. Hikmah kisah ini sudah terpancar cahayanya jika kita cuba sedaya upaya memahami makna cinta persahabatan hakiki di dalam surah tersebut. Realitinya, tidak mungkin kita mampu hidup keseorangan. Nabi Musa sendiri mengakuinya dan memerlukan Harun untuk melaksanakan tugas dakwahnya. Definisi “hidup keseorangan” itu ialah DERITA!! Pasti setiap dari kita mempunyai seorang atau lebih sahabat karib dalam perjuangan kita dan menemani setiap ceritera suka dan duka tanpa mengira waktu dan tempat.  Dengan adanya sahabat karib, kita gembira, bergelak ketawa, marah, kecewa, sedih, gundah gulana dan pelbagai warna perasaan yang dapat kita rasakan. Ah, manisnya bersahabat!

Kalau dilihat makna persahabatan dalam ideologi Kapitalisme, mereka kejam! Bersahabat untuk mendapatkan keuntungan duniawi dari manusia itu dan mengambil peluang ke atasnya sebelum dia mengambil peluang terhadap kita. Makhluk manusia ini sungguh khianat dalam memberi definisi persahabatan!! Maka, jelaslah bahawa hanya Rabbul Izzah sahaja yang mampu mendefinisikan dengan sempurna. Persahabatan hakiki. Persahabatan yang membawa  insan-insan yang berukhwah keranaNya  berpegang tangan gah menuju ke syurga Allah yang abadi. Bukankah itu “sweet”? Adakah ada perkara lain yang se”sweet” ini? Allahu Allah.

“…ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu bermusuhan, lalu Allah mempersatukan hatimu, sehingga dengan karuniaNya kamu menjadi bersaudara, sedangkan ketika itu, kamu berada di tepi jurang api neraka lalu Allah menyelamatkan kamu dari sana….” (3:103)

Persahabatan yang diredhai oleh Allah terjalin hanya dengan ikatan iman yang kukuh disertai dengan amal yang ikhlas keranaNya dan langsung tidak sekelumit pun dibezakan dengan pertalian darah dan bangsa. Mereka saling tolong menolong untuk mendekatkan diri mereka ke kebun-kebun Syurga dan nasihat-menasihati di kala antara mereka mendekatkan diri ke lautan api neraka. Itulah makna persahabatan yang diredhai Allah seperti mana yang pernah dirasai oleh Musa dan Harun. Tak lupa kepada Abdullah Ibn Maktum dan Mus’ab bin Umair yang berukhwah kerana dakwah islami yang kita rasai di saat ini. Sesungguhnya, sahabat kita merupakan aset dunia dan akhirat. Mereka juga antara faktor penyebab kita terus menerus merasai nikmat syurga tanpa dihisab atau punca kita terus menerus merasai azab api neraka yang pedih tanpa ragu-ragu oleh Allah! Nauzubillah!! Allah s.w.t menggambarkan keadaan itu di dalam Surah Al-Anfal, ayat 38:

“….Setiap kali suatu umat masuk, DIA MELAKNAT SAUDARANYA, sehingga apabila mereka telah masuk kesemuanya, berkatalah orang yang masuk belakangan kepada orang yang masuk terlebih dahulu, “Ya tuhan kami, mereka telah menyesatkan kami. Datangkanlah seksaan api neraka yang berlipat ganda kepada mereka”….” (7:38)

Terasa kesat-kesat mata dan berair sedikit. Sahabat! Kenapa kamu bersikap begitu bila di hadapan Allah? Kenapa kamu tidak berterus terang kepada ku ketika kita bersama? Bukankah kamu sudah berjanji kita akan bersahabat sehidup dan semati? Allah, tangisan ketika itu tidak lagi berguna. Benarlah bahawa sahabat itu aset penting untuk dunia dan akhirat. Bawalah sahabat bersama-sama dengan diri kita ke arah ketakwaan dan keimanan. Hanya dengan itu sahaja cara membawa 2 manusia yang bergelar sahabat menuju syurga Allah. Seperti Musa dan Harun. Kasih sayang dan tulus ikhlas yang dikongsikan bersama pasti tidak akan sia-sia kerana apabila keimanan dan ketaqwaan menjadi tunjang asas persahabatan tersebut, maka tidak ada lagi ragu-ragu bagi mereka mengejar kegembiraan yang abadi di dunia dan akhirat. Diakhiri penulisan ini dengan 2 dalil mengukuhkan makna persahabatan Ilahi.

Sebuah hadis Qudsi yang bermaksud:

Pasti mendapat kecintaanKu bagi dua orang yang sayang menyayangi keranaKu, dua orang yang duduk bersama-sama keranaKu, dua orang kunjung mengunjungi keranaKu, dan dua orang yang tolong menolong keranaKu.

Ditambah lagi dengan kata-kata Rasulluah Muhammad s.a.w yang bermaksud:

Sesiapa yang ingin merasakan kemanisan iman, hendaklah ia mencintai seseorang, tiada mencintainya melainkan kerana Allah.

Malu untuk ku katakan kepada kamu. Saya cinta kamu kerana Allah, sahabat! Sudikah kamu menjadi sahabat seperti Harun?

 

“Kepungi manusia itu dengan cinta Allah”

filhaqiqatulislah

Post ini diterbitkan pada 10/12/2012 di sebuah blog iaitu MSOC IMU