Ya Allah! Sudahkah aku berkorban untukMu?

Tidakkah kita terfikir bahawa kenapa perlunya pengorbanan dalam mencapai sebuah kejayaan ataupun kemenangan yang menggembirakan? Mengapa kita sentiasa perlu berkorban untuk mendapatkan sesuatu? Tidak bolehkah Allah menjadikan hidup ini tenang dengan keadaan seluruh umat manusia menyembah kepadaNya, mempunyai satu agama dan tidak berbeza fikiran, jiwa dan watak? Kenapa agama Allah ini akan menang dengan hanya memerlukan pengorbanan dari manusia-manusia yang berkomited dengan jalanNya?

Fuh. Berpeluh-peluh.

Sepanjang sungai sejarah kemanusiaan, pengorbanan merupakan penanda aras bagi harga sebuah kemenangan. Kemenangan yang hakiki. Air mata dan darah sentiasa menjadi bahan-bahan asas untuk kejayaan ini dalam setiap suratan sejarah kemanusiaan. Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s membuktikan bahawa dengan pengorbanan dalam mentaati arahan Allah dan meninggalkan larangan Allah sahaja mampu menobatkan mereka sebagai manusia agung sepanjang zaman. Seperti mana yang disebutkan hebatnya 2 manusia ini dalam Al-Quran:

“Dan (ingatlah) ketika Ibrahim diuji Tuhannya dengan beberapa kalimat (perintah dan larangannya), lalu Ibrahim menunaikannya. Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku akan menjadikanmu imam bagi seluruh manusia”. Ibrahim berkata: “Dan aku mohon juga dari keturunanku”. Allah berfirman: “Janjiku ini tidak mengenai orang-orang yang zalim.” (Surah Al-Baqarah, 2:124)

“Dan ceritakanlah kisah Ismail di dalam Al-Quran. Sesungguhnya dia adalah seorang yang benar janjinya, dan dia adalah seorang rasul dan nabi”. (Surah Maryam, 19:54)

Ya, kedua-duanya dimuliakan oleh Allah atas pengorbanan hakiki mereka untuk agama ini. Islam. Realitinya, Islam bukanlah sebuah agama yang bersifat “magic” atau silap mata. Islam ialah cara hidup yang mengambil kira fitrah semulajadi dan kemampuan manusia tertentu dan ia menggunakan kedua-dua aspek ini untuk mencapai kemenangan hakiki. Ramai yang menyangka kemenangan Islam akan tiba jika kuantiti umat Islam melangkaui kuantiti masyarakat dunia. Ramai juga yang menyangka kemenangan Islam hanya tercapai dengan berjaya memilih pemimpin Islam sahaja tanpa diri sendiri memahami makna Islam yang sebenar. Mereka juga berfikir bahawa kemenangan Islam akan tercapai dengan hanya diri sendiri mengamalkan nilai-nilai murni Islam sahaja dan membiarkan masyarakat rosak dan punah akhlaknya diserang oleh musuh Islam. Mereka turut menyangka Islam akan menang dengan hanya beramai-ramai menghadiri program-program agama tanpa ada usaha untuk beristiqamah dalam beramal dan masih mengekalkan jahiliah-jahiliah dalam diri. Sangkaan itu hanya sebuah sangkaan ilusi semata-mata. Realitinya, sangkaan tersebut tidak akan mampu mengubah nasib “deen” ini. “Deen” ini akan terus kalah dan kalah berulang-ulang kali tanpa mengambil pengajaran dari kekalahan umat Islam ketika perang Uhud. Maka, sebenarnya “deen” ini memerlukan manusia-manusia yang sentiasa bersedia melakukan pengorbanan harta, keluarga malah nyawa demi kemenangan agama ini.

The road not taken

Biarlah sekali lagi kita tanpa jemu menyelusuri sungai sejarah kemanusiaan untuk menampakkannya lagi  bukti pengorbanan itu merupakan harga sebuah kehidupan yang hakiki. Mari kita lihat pengorbanan ibunda Nabi Musa a.s ketika melepaskan Musa yang ketika itu merupakan bayi ke dalam sungai yang entah ke mana penghujungnya. Seterusnya, bagaimana dengan Nabi Yusuf yang mengorbankan masa mudanya di telaga yang gelap lalu di penjara yang terlalu sukar untuk hidup di dalamnya? Bagaimana dengan Nabi Nuh yang mengorbankan 950 tahun umurnya untuk berdakwah pada kaumnya dan hasilnya sangat sedikit pengikutnya? Bagaimana dengan pengorbanan Nabi Muhammad s.a.w selama 23 tahun untuk memastikan di saat ini, kita dapat merasakan kemanisan iman dan Islam? Kesemuanya itu memerlukan pengorbanan yang sebenar-benarnya untuk menghantar setiap individu Muslim itu menuju muara kegemilangannya dalam hidupnya dengan Islam.

“Ya Allah, sungguh berat tanggungjawabku ini. Mampukah aku untuk memikulnya?”

Tanggungjawab ini hanya dapat dilaksanakan dengan perasaan cinta dan ikhlas andaikata kita berani melepaskan tali dunia yang mengasyikkan ini. Melepaskan semua keseronokan dunia yang seketika ini. Melepaskan perkara-perkara lagho yang menghiburkan tetapi menghinakan. Melepaskan segala keinginan hawa nafsu yang menggila. Dengan pengorbanan ini sahaja sudah mampu mempercepatkan diri kita ke arah kemenangan Islam dalam diri dan orang sekitarnya.

“Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” (Surah Al-Mulk, 67:2)

Inilah jawapan kepada persoalan-persoalan yang dikemukakan di perenggan pertama. Hidup ini tidak lain tidak bukan hanyalah sebuah ujian. Hanya kematian merupakan penamat kepada segala ujian. Allah mampu menghasilkan sebuah umat yang satu seperti yang kita inginkan, tetapi Dia mahu menguji hamba-hambaNya yang mana yang lebih taqwa imannya, yang mana yang lebih ikhlas amalnya. Kita perlu akui bahawa ketika turunnya Adam dan Hawa ke atas muka bumi ini, mereka juga turut disertai dengan Syaitan yang turut sama turun ke bumi untuk menyesatkan kaum manusia. Oleh itu, hidup ini hanya ada 2 pilihan:

  • Kebaikan dan kebatilan
  • Kebenaran dan kejahatan
  • Tentera Allah dan tentera Iblis

The Battle of Good and Evil

Kita tiada pilihan untuk tidak memihak mana-mana satu. Kita hanya perlu memilih yang Haq dan memenangkannya dengan bersedia meredah ujian-ujian yang bakal menimpa. Ya Allah! Sudahkah aku berkorban untukMu??

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.”(Surah At-Taubah, 9:111)

“Kepungi manusia itu dengan cinta Allah”

filhaqiqatulislah