RISALAH UNTUKMU AKTIVIS DAKWAH (1)

 

CP_TarbiyahTakwinIKRAM

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

أيها الإخوة في الله

Buat saudaraku kerana Allah,

Ketahuilah bahawa dakwah yang kita perjuangkan ini ialah satu gagasan yang jelas lagi suci dan pasti. Kita ialah penyambung dan penghubung mata rantai dakwah daripada orang mukmin sebelum kita dan generasi mukmin yang akan datang selepas kita. Yakinlah bahawa dakwah kita ialah gagasan dan fikrah yang akan kita jayakan dengan izin Allah sepertimana keyakinan Ar-Rasul dan para sahabatnya yang mulia bahawa Islam akan tersebar ke seluruh alam merentasi Jazirah Arab.

Inilah peranan utama kita, sebagai aktivis dakwah kampus yang mendokong gagasan dan fikrah yang mulia ini. Medan kampus ialah permulaan kepada langkah kecil kita untuk mencapai gagasan dakwah ini bersama-sama dengan tunjuk ajar orang-orang yang berhikmah sebelum kita. Kita berganding bahu untuk berusaha mencapainya dengan penuh sabar, jujur (profesional), bersungguh-sungguh, istiqamah dan rendah diri. Kita tidak pernah lelah dan ragu-ragu dalam mencintai dan mencurahkan tenaga kita untuk dakwah ini kerana kita sungguh mengimani bahawa tiada tempat rehat yang lebih kita rindui melainkan Syurga Firdaus yang Allah berikan kepada orang-orang yang ikhlas menolong agama-Nya. Inilah sumber motivasi kita yang utuh dan tidak akan berubah dari awal kehidupan kita hingga pengakhirannya.

سابقوا الى مغفرة من ربكم وجنة عرضها كعرض السماء والارض اعدت للذين امنوا بالله ورسله ذلك فضل الله يؤتيه من يشاء والله ذو الفضل العظيم

Berlumba-lumbalah kamu untuk mendapatkan keampunan dari Rabbmu, dan mendapat Syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya…” (57:21)

Buat saudaraku kerana Allah,

Sesungguhnya gagasan dakwah yang kita imani bukanlah satu gagasan yang berpaksikan semangat semata-mata. Ia adalah gagasan yang perlu diyakini matlamat perjuangannya, benar-benar ikhlas  merealisasikannya, bersemangat dalam mempertahankannya dan bersedia untuk berkorban dan melaksanakannya. Maka, wahai saudaraku yang ikhlas, gagasan dakwah ini wajib diteruskan sekalipun kita sudah tiada lagi medan kampus. Kita sekali-kali tidak mahu gagasan dakwah yang kita cintai ini dipusatkan tenaga kita hanya ketika berada di kampus. Malah, kita akan membawa dan mendokong kemuliaan gagasan dakwah ini menyelinap ke dalam aspek kerjaya kita, pembinaan rumah tangga Muslim dan masyarakat setempat yang kita duduki. Kita tidak merasa cukup hanya menjadi seperti manusia kebiasaan setelah keluar dari kampus tetapi kita ingin menjadi manusia yang luar biasa manfaatnya kepada masyarakat luar kampus. Hidup bagi kita, wahai sauadaraku yang ikhlas, ialah ibarat matahari, biarpun terbenamnya ia di sesuatu tempat, ia juga terbit untuk menerangi di di tempat yang lain. Inilah peranan aktivis dakwah kampus yang akan dimanfaatkan oleh umat kerana kita meyakini gagasan dakwah ini adalah sebahagian dari manfaat hidup kita. Begitulah bukti ketulusan cinta kita kepada gagasan dakwah ini seperti kata-kata yang diungkapkan oleh K.H Rahmat Abdullah:

“Memang seperti itulah dakwah. Dakwah adalah cinta. Dan cinta akan meminta semuanya dari dirimu. Sampai fikiranmu. Sampai perhatianmu. Berjalan, duduk dan tidurmu. Bahkan di tengah lelapmu, isi mimpimu pun tentang dakwah. Tentang umat yang kau cintai.” (K.H Rahmat Abdullah)

Buat saudaraku kerana Allah,

Kita juga sungguh meyakini bahawa amaran-amaran Allah ialah salah satu peringatan kita supaya berhati-hati dan sentiasa tidak mencari ruang untuk culas dan malas melaksanakan amal-amal kita. Kita cuba sedaya upaya mengerahkan tenaga, masa dan harta untuk membantu mengembangkan kefahaman fikrah kepada seluruh masyarakat kampus dengan harapan Allah tidak menggantikan kita dengan orang yang lebih Allah sayang akibat kemalasan dan ketidak yakinan kita kepada gagasan dakwah yang mulia ini. Hal ini sungguh menggerunkan hati kita kerana dari awal hingga akhir, kita mahu bersama kafilah yang mendokong gagasan dakwah dalam susah atau senang dan kita sekali-kali tidak mahu nasib kita ditentukan oleh diri kita sendiri. Seperti yang disebut di dalam Surah Muhammad, ayat 38:

ها انتم هؤلاء تدعون لتنفقوا في سبيل الله فمنكم من يبخل ومن يبخل فانما يبخل عن نفسه والله الغني وانتم الفقراء وان تتولوا يستبدل قوما غيركم ثم لا يكونوا امثالكم

“Ingatlah, kamu adalah orang-orang yang diajak untuk menginfakkan di jalan Allah. Lalu di antara kamu, ada orang yang bakhil, dan barang siapa yang bakhil, maka sesungguhnya dia bakhil terhadap dirinya sendiri. Dan Allah-lah yang Maha Kaya dan kamulah yang memerlukan kurniaanNya. Dan jika kamu berpaling, Dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain, dan mereka tidak akan derhaka seperti kamu.” (47:38)

Semoga ayat Al-Quran yang suci ini menjadi perhatian kita di saat kita culas dengan amal-amal kita.

Semoga keyakinan kita kepada gagasan dakwah ini menjadikan kita orang-orang yang mukmin dan intim dalam berhubung dengan Allah. Yakinlah wahai saudaraku yang ikhlas, adalah menjadi salah satu hak Allah untuk menolong orang-orang beriman. Janji siapakan yang lebih baik selain daripada janji Allah?

وكان حقا علينا نصر المؤمنين…

“…dan sememangnya adalah menjadi hak Kami menolong orang-orang beriman.” (30:47)

Semoga Allah sentiasa memberi taufik dan hidayah kepada orang-orang beriman yang ikhlas dan berjihad di atas jalanNya. Wallahua’lam.

***

-filhaqiqatulislah-

Menuju Kampus HARMONI

IKRAMSISWA

Advertisements

Ulasan daripada Pembaca

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s