Merangkak menuju Tuhan…

walking-alone

Tulisan ini aku tujukan kepada diri ini dan jiwa-jiwa yang sedang bersabar dalam ketaatan. Aku tidak tahu bagaimana untuk berbicara dan menggambarkan betapa pengorbanan kita dalam menuju Allah begitu mencabar dan melelahkan. Sekalipun kita mengetahui hakikat dan realiti jalan yang kita tempuhi. Sekalipun kita mengetahui bahawa sabar adalah kekuatan dalaman dalam bergerak menuju Tuhan. Sekalipun kita mengetahui bahawa dunia ini hanyalah permainan dan penyejuk mata semata-mata.

Namun begitu, timbulnya sifat manusiawi yang perlu kita akui iaitu kelelahan dan kesedihan dalam mengharungi jalan dakwah yang kita cintai. Bagaimana mungkin perasaan kita di mana saudara-saudara seperjuangan kita menghilangkan diri di saat kita memerlukan mereka dalam menyusun dan menggerakkan dakwah. Kita mengetahui manusia memerlukan masa untuk pulih dan bangun semula, tetapi bagaimana ketika mereka jatuh, kau masih bersemangat untuk dakwah? Kau mahu memegang tangan mereka tetapi mereka enggan memegangnya. Di saat itulah, engkau ketahui bahawa tiada tempat yang mampu kau sandarkan melainkan Allah. Hasbiallahu wa ni’mal wakil.

Bagaimana mungkin di saat engkau bersemangat menyusun dan menggerakkan dakwah, engkau sanggup menggadaikan masa cutimu yang sepatutnya kau bersama keluarga, tetapi di saat itu, orang yang bekerja untuk dakwah tidak serius dan memandang enteng kerja ini? Apa perasaan kau ketika itu? Kau jalankan juga sedaya upaya yang kau ada. Kau teruskan juga dengan apa yang ada walaupun pada akhirnya, hasilnya sungguh mendukacitakan. Di saat itu, kau mula mengetahui bahawa tiada tempat yang selayaknya untuk kau minta bantuan ialah Allah. Hasbiallahu wa ni’mal wakil.

Bagaimana di saat engkau berusaha menghabiskan wang engkau sehingga ke ‘tulang’ untuk aktiviti dakwah dan pada waktu yang sama, kau cuba mendapatkan infaq dari saudara-saudara yang lain, dan sungguh ia mengecewakan kerana pada akhirnya, kau terpaksa keluarkan semua simpanan kau untuk dakwah. Sehingga di satu saat, kau katakan, “alangkah baiknya jika ada yang menderma untuk aku habiskan untuk program dakwah ini”. Kau terpaksa berpuasa dan makan apa saja yang ada di dapur semata-mata tiada wang? Apa perasaan kau ketika itu? Pada ketika itulah, kau mengetahui bahawa tiada tempat yang boleh kau harapkan melainkan Allah. Hasbiallahu wa ni’mal wakil.

Bagaimana di saat engkau bersiap-siap untuk terlibat dalam program-program dakwah dan ada seorang saudara yang mengatakan, ‘cukup-cukuplah dengan program di hujung minggu sedangkan mereka riang gembira dengan hasil bisnes mereka? Apa perasaan kau ketika itu? Kau hampir ‘mati keras’ mencari duit untuk membiayai kehidupan dan dakwah dan mereka hanya mengatakan ‘cukup-cukuplah dengan kerja ini’? Apa perasaan engkau ketika itu? Di saat itu, tiadalah tempat yang boleh kau tangisi melainkan Allah. Hasbiallahu wa ni’mal wakil.

Bagaimana perasaan kau di saat orang lain sibuk untuk menikah dan membiarkan tanggungjawab yang sudah dipegang dibiarkan dengan harapan orang yang bujang untuk melakukan semua kerja dakwah tersebut? Apa perasaan kau di saat itu? Engkau sudah mula memikirkan biarlah aku hidup membujang dari menjadi seorang saudara yang asyik dengan kehidupan dan hanya pandai bercakap tetapi tidak praktik apa yang diperkatakan. Ya, pada saat yang sama, engkau telah tekadkan hati, bahawa Allah ialah Tuhan yang Maha Mengetahui. Hasbiallahu wa ni’mal wakil.

Hasbiallahu wa ni’mal wakil. Cukuplah Allah untuk diriku yang penuh dengan serba kelemahan. Cukuplah Allah untuk diriku dari dunia yang penuh kehinaan. Cukuplah Allah untuk diriku yang penuh dengan kejelekan dan dosa-dosa. Cukuplah Allah untuk diriku dalam menghadapi ujian dan fitnah. KepadaNya ialah tempat kita bertawakkal.

Seorang akh telah berkata bahawa aku nampak seorang yang kuat dan bersungguh dalam dakwah. Ketahuilah akh, energi yang aku dapat bukan dariku. Jika ia datang dari diri ini, maka aku tidak kuat. Tetapi kekuatan itu datang dari Allah. La hawla wala quwwata illa billah. 😦

– filhaqiqatulislah-

Advertisements