Merangkak menuju Tuhan…

walking-alone

Tulisan ini aku tujukan kepada diri ini dan jiwa-jiwa yang sedang bersabar dalam ketaatan. Aku tidak tahu bagaimana untuk berbicara dan menggambarkan betapa pengorbanan kita dalam menuju Allah begitu mencabar dan melelahkan. Sekalipun kita mengetahui hakikat dan realiti jalan yang kita tempuhi. Sekalipun kita mengetahui bahawa sabar adalah kekuatan dalaman dalam bergerak menuju Tuhan. Sekalipun kita mengetahui bahawa dunia ini hanyalah permainan dan penyejuk mata semata-mata.

Namun begitu, timbulnya sifat manusiawi yang perlu kita akui iaitu kelelahan dan kesedihan dalam mengharungi jalan dakwah yang kita cintai. Bagaimana mungkin perasaan kita di mana saudara-saudara seperjuangan kita menghilangkan diri di saat kita memerlukan mereka dalam menyusun dan menggerakkan dakwah. Kita mengetahui manusia memerlukan masa untuk pulih dan bangun semula, tetapi bagaimana ketika mereka jatuh, kau masih bersemangat untuk dakwah? Kau mahu memegang tangan mereka tetapi mereka enggan memegangnya. Di saat itulah, engkau ketahui bahawa tiada tempat yang mampu kau sandarkan melainkan Allah. Hasbiallahu wa ni’mal wakil.

Bagaimana mungkin di saat engkau bersemangat menyusun dan menggerakkan dakwah, engkau sanggup menggadaikan masa cutimu yang sepatutnya kau bersama keluarga, tetapi di saat itu, orang yang bekerja untuk dakwah tidak serius dan memandang enteng kerja ini? Apa perasaan kau ketika itu? Kau jalankan juga sedaya upaya yang kau ada. Kau teruskan juga dengan apa yang ada walaupun pada akhirnya, hasilnya sungguh mendukacitakan. Di saat itu, kau mula mengetahui bahawa tiada tempat yang selayaknya untuk kau minta bantuan ialah Allah. Hasbiallahu wa ni’mal wakil.

Bagaimana di saat engkau berusaha menghabiskan wang engkau sehingga ke ‘tulang’ untuk aktiviti dakwah dan pada waktu yang sama, kau cuba mendapatkan infaq dari saudara-saudara yang lain, dan sungguh ia mengecewakan kerana pada akhirnya, kau terpaksa keluarkan semua simpanan kau untuk dakwah. Sehingga di satu saat, kau katakan, “alangkah baiknya jika ada yang menderma untuk aku habiskan untuk program dakwah ini”. Kau terpaksa berpuasa dan makan apa saja yang ada di dapur semata-mata tiada wang? Apa perasaan kau ketika itu? Pada ketika itulah, kau mengetahui bahawa tiada tempat yang boleh kau harapkan melainkan Allah. Hasbiallahu wa ni’mal wakil.

Bagaimana di saat engkau bersiap-siap untuk terlibat dalam program-program dakwah dan ada seorang saudara yang mengatakan, ‘cukup-cukuplah dengan program di hujung minggu sedangkan mereka riang gembira dengan hasil bisnes mereka? Apa perasaan kau ketika itu? Kau hampir ‘mati keras’ mencari duit untuk membiayai kehidupan dan dakwah dan mereka hanya mengatakan ‘cukup-cukuplah dengan kerja ini’? Apa perasaan engkau ketika itu? Di saat itu, tiadalah tempat yang boleh kau tangisi melainkan Allah. Hasbiallahu wa ni’mal wakil.

Bagaimana perasaan kau di saat orang lain sibuk untuk menikah dan membiarkan tanggungjawab yang sudah dipegang dibiarkan dengan harapan orang yang bujang untuk melakukan semua kerja dakwah tersebut? Apa perasaan kau di saat itu? Engkau sudah mula memikirkan biarlah aku hidup membujang dari menjadi seorang saudara yang asyik dengan kehidupan dan hanya pandai bercakap tetapi tidak praktik apa yang diperkatakan. Ya, pada saat yang sama, engkau telah tekadkan hati, bahawa Allah ialah Tuhan yang Maha Mengetahui. Hasbiallahu wa ni’mal wakil.

Hasbiallahu wa ni’mal wakil. Cukuplah Allah untuk diriku yang penuh dengan serba kelemahan. Cukuplah Allah untuk diriku dari dunia yang penuh kehinaan. Cukuplah Allah untuk diriku yang penuh dengan kejelekan dan dosa-dosa. Cukuplah Allah untuk diriku dalam menghadapi ujian dan fitnah. KepadaNya ialah tempat kita bertawakkal.

Seorang akh telah berkata bahawa aku nampak seorang yang kuat dan bersungguh dalam dakwah. Ketahuilah akh, energi yang aku dapat bukan dariku. Jika ia datang dari diri ini, maka aku tidak kuat. Tetapi kekuatan itu datang dari Allah. La hawla wala quwwata illa billah. 😦

– filhaqiqatulislah-

7 kriteria menjadi murabbi sukses

11263513_783186211802936_1336365516_n

Menjadi murabbi ialah satu kemuliaan bagi seseorang yang beriman kepada dakwah dan tarbiah. Murabbi itu ibarat tangan kepada jemaah dakwah kerana merekalah yang akan mencari logam-logam yang berkualiti, menggilap, menapis mereka dari debu-debu kekotoran dan membentuk (takwin) mereka hingga menjadi seorang jundi (tentera) yang bermanfaat untuk umat. Begitulah tugasan seorang murabbi yang ikhlas.

Terdapat 7 kriteria yang akan menjadikan seorang murabbi itu sukses dalam pembawaannya membina rijal-rijal ummah. Pertamanya, :

a) Mempunyai iman yang bergelora, ikhlas dan bertaqwa.

Iman ialah satu senjata ampuh dan bekalan yang akan memastikan keberadaan seorang murabbi di atas jalan islah ini. Kerana iman-lah yang menyebabkan murabbi bersabar dalam membina mutarabbinya walau dalam apa-apa keadaan sekalipun. Ikhlas ialah satu ‘gist‘ atau ‘rasa’ yang menjadikan murabbi itu merasa nikmat dalam menyampaikan dakwahnya kepada mad’u-mad’unya. Keikhlasan telah menjadikan si murabbi merasa membuak-buak untuk memastikan mutarabbinya sentiasa berada dalam keadaan baik dan bermanfaat untuk umat. Taqwa ialah satu elemen yang sentiasa menyelebungi perasaan murabbi sepanjang masa. Dia merasakan apa yang dia lakukan adalah tanda ketaatan kepada Allah yang merupakan Rabb dan Ilah kepadanya. Begitulah perasaan seorang murabbi yang mana hatinya beriman, perbuatan dan percakapannya ikhlas dan perasaannya sentiasa bertaqwa.

b) Mempunyai qudwah hasanah (keteladan yang baik)

Qudwah qabla da’wah. Inilah kata-kata yang seringkali diperkatakan oleh syeikh dakwah sebelum kita. Menjadikan teladan atau contoh yang terbaik sebelum dakwah ialah satu kunci untuk menjadikan murabbi itu sukses membina para rijal ummah. Apa yang ditonjolkan murabbi itu akan menjadi bukti kepada mutarabbi untuk mencontohi. Selalunya apabila kita menyebut qudwah, ia adalah satu kesaksian yang besar kepada orang di sekeliling kita dan ia adalah manifestasi sebenar yang wujud di dalam hati murabbi. “Islah nafsak wad’u ghairak”. Kita mengislahkan diri kita dan mengajak manusia lain ke arah perubahan yang total. Murabbi sukses sentiasa merasakan setiap saat dan masanyayang dihabiskan ialah qudwah kepada mutarabbinya walaupun dia berseorangan. Hal ini sangat penting untuk menjiwai kerana hati yang baik itu sentiasa mengarah kepada kebaikan dan menjadi satu kemestian kepada murabbi untuk sentiasa mempunyai hati yang bersih untuk memperoleh taufiq dari Allah untuk sentiasa melakukan perkara yang baik dan bermanfaat. Pada masa yang sama, qudwah ini akan menjadi modal kepada perubahan seorang mutarabbi.

c) Kemampuan membangun hubungan sosial (al qudrah ‘ala bina al-‘alaqah al-insaniah)

sufi%20meditation%20connect%20one%20heart%20with%20mentor

Menjadi murabbi bukanlah bermakna menjadi malaikat atau makhluk yang dibayangkan sempurna. Pada hakikatnya, murabbi ialah seorang manusia. Menjadi manusia yang manusiawi bermakna menjadi manusia yang berkebolehan membina hubungan sosial antara manusia lain. Perlunya ada sifat manusiawi di dalam diri seorang murabbi. Sifat manusiawi yang dimaksudkan ialah apabila kita mengharapkan mutarabbi itu mampu memberi hatinya untuk dakwah dan tarbiah, maka murabbi dahulu yang pertama sanggup memberikan hatinya kepada mutarabbi. Sanggup berkorban masa dan harta untuk mutarabbinya dan sedia menolong dalam apa-apa keadaan. Mendidik dan menilai mutarabbi dari sudut kemanusiaan bukan dengan memaksa mereka untuk mengikuti apa yang diajar. Kemampuan ini sangat penting dan perlu diusahakan oleh setiap murabbi supaya berjaya mengikat hati manusia-manusia yang dibina dengan baik dan lemah lembut. Ketika itu, barulah kita memahami bahawa mutarabbi itu perlu dibina dengan kasih sayang, kesabaran dan ketelitian.

d) Ilmu pengetahuan dan wawasan yang luas

Ilmu pengetahuan sangat penting dalam menjadi seorang murabbi sukses. Kerana dengan ilmu dan wawasan yang luas menjadikan seorang murabbi itu kreatif dan sentiasa ada pelbagai solusi dalam menghadapi cabaran dalam membina rijal-rijal ummah. Ia akan terus mencurahkan idea-idea dalam melaksanakan dakwahnya dan sentiasa membuka peluang-peluang untuk beramal tanpa hanya mengikut kerangka fikiran yang sama. Hal ini kerana manusia mempunyai pelbagai ragam dan perlu disentuh dengan pelbagai cara. Untuk mempunyai kepelbagaian dalam menyentuh hati manusia, seorang murabbi memerlukan ilmu pengetahuan dan wawasan yang luas untuk menjadikan pembinaan rijal-rijal ummah menuju kepada objektf yang hendak dicapai. Tanpa ilmu dan wawasan ini, maka dakwah dan pembinaan menjadi longlai dan mutarabbi merasakan tiada variasi dalam memahami dakwah dan tarbiah. Bukankah manusia itu logam dan setiap dari mereka ialah berbeza? Maka, dengan keluasan ilmu pengetahuan dan wawasan yang jelas, maka logam-logam ini dapat dibentuk dengan muntij. Contoh ilmu pengetahuan yang perlu dipelajari oleh seorang murabbi ialah ilmu psikologi yang mana, ilmu ini mampu menjadikan seorang murabbi memahami setiap perbuatan dari sudut dalaman dan luaran mutarabbi masing-masing ketika bersama dengan mereka.

e) Kemampuan mentransformasikan ilmu dan pengalaman dalam tarbiah

Ilmu dan pengalaman adalah mutiara yang perlu disusun dengan baik. Dengan itu, barulah terhasil satu kesinambungan yang memberi manfaat kepada umat. Hal ini kerana ilmu tanpa pengalaman ibarat teori tanpa eksperimen yang boleh jadi ia adalah satu perkara di atas angin. Tanpa jisim. Tanpa bukti. Hanya mainan minda. Begitu juga pengalaman tanpa ilmu ibarat usaha yang memenatkan tanpa hala tuju. Ia akan membawa kita kepada kegagalan demi kegagalan sehingga kadang-kadang, kita mengulangi kegagalan yang sama. Untuk mengatasi kedua-dua masalah ini, maka menjadi kewajipan kepada murabbi untuk mentransformasikan ilmu dan pengalaman untuk memuntijkan tarbiah. Pastikan dalam apa perbuatan dan perancangan seorang murabbi itu ada ilmu (objektif) dan pengalaman (praktikal) yang membolehkan pembinaan rijal-rijal ummat dalam kerangka yang paling terbaik dan asolah. Seperti kata syeikh dakwah bahawa ‘nahnu muwajjihun bil ahdaf’. Yang bermakna, kita ialah penghala (petunjuk arah) kepada objektif yang hendak dicapai. Dengan ini, ia akan membantu para murabbi menjadi seorang yang sukses dalam membawa mutarabbinya menuju ke arah kefahaman tarbiah dan dakwah yang syumul.

f) Kemampuan utk memimpin (al qudrah alal qiadah)

Salah satu karakter seorang murabbi ialah berkapasiti untuk menjadi pemimpin. Dari sudut kecilnya, sekurang-kurangnya murabbi itu ialah pemimpin kepada mutarabbinya. Ada orang menyangkakan bahawa untuk memimpin itu ialah satu kebolehan yang diperoleh daripada kecil tetapi sangkaan itu sama sekali tidak benar kerana semua orang mampu memimpin jika diasah bakat dan kemahirannya. Maka, kemampuan ini harus digarap dan diperkuatkan kerana seorang murabbi harus memimpin dan menyusun mutarabbinya untuk dakwah. Berstrategi dan bijaksana dalam membuat keputusan adalah sikap seorang pemimpin yang harus ada pada setiap murabbi sukses untuk menjayakan dakwah. Dakwah mesti berkembang dan ia sangat berhajat kepada seorang yang mampu berstrategi dalam menyusun ahli-ahli di bawahnya dengan baik dan tepat. Kita boleh lihat sendiri contoh terbaik dari Rasulluah yang mana baginda mempunyai kebijaksanaan dalam menyusun para sahabatnya dalam memastikan dakwah terus berkembang.

g) Kemampuan mengurus (al qudrah ‘alal idarah)

Kriteria terakhir yang perlu ada bagi seorang murabbi sukses ialah berkemampuan dalam mengurus. Pengurusan seorang murabbi mestilah tersusun dan sistematik kerana tanggungjawab seorang murabbi bukanlah biasa-biasa tetapi ia sangat luar biasa. Maka, ia memerlukan pengurusan dari sudut diri murabbi itu sendiri, tanggungjawab-tanggungjawab medan masyarakat, halaqah-halaqah yang dipertanggungjawabkan, masa-masa untuk bersama mutarabbi dan lain-lain lagi. Kesemuanya ini memperlukan pengurusan yang sangat baik dan ia mendesak para murabbi untuk sentiasa memastikan mereka mempunyai cara dan kaedah dalam mengurus secara efektif. Kemampuan ini mampu memberikan satu contoh yang baik kepada mutarabbi secara tidak langsung kerana inilah menggambarkan dakwah bil hal dan menjadikan para mutarabbi ingin menjadi seperti murabbi mereka dalam sudut bersungguh-sungguh dalam beramal da’wi dan tarbawi.

***

Inilah sebahagian daripada kriteria-kriteria yang perlu ada untuk menjadikan seorang murabbi sukses. Semoga Allah menganugerahkahan taufiq dan hidayah kepada kita untuk menjadi sukses dalam membina para rijal untuk ummah dan dakwah.

-filhaqiqatulislah-